iklim soleh
ANTARA perkara yang ajaran Islam berusaha tegakkan adalah iklim atau suasana yang solehah. Ia disebut dalam bahasa Arab sebagai al-biah al-solehah. Kewujudan persekitaran yang soleh atau baik dan takwa akan mempengaruhi pembentukan jiwa dan akhlak penghuni yang berada dalamnya.
Insan apabila hidup dalam sesuatu suasana, secara kebiasaannya suasana itu akan mempengaruhinya. Jika seseorang yang kurang bijak hidup di kalangan mereka yang bijak, maka sedikit sebanyak bicara dan pendapat yang bijak dan berkualiti itu akan tempias kepadanya.
Demikian jika seseorang yang kurang baik, tetapi hidup dan bergaul dengan mereka yang baik-baik, kemungkinan besar budaya dan akhlak yang baik akan mempengaruhinya.
Perkara yang sebaliknya juga mungkin berlaku. Insan yang tidak jahat, tetapi jika terbiasa dengan mereka yang melakukan aktiviti atau akhlak yang jahat, maka tidak mustahil pengaruh-pengaruh jahat itu akan menyerap ke dalam jiwanya nanti.
Membentuk peribadi seorang insan – di satu sudut – memerlukan pengembelingan seluruh masyarakat, bukan sekadar dua ibubapa sahaja. Sebab kegagalan membentuk seorang anak kecil agar menjadi soleh kadang-kala dipengaruhi oleh faktor persekitaran.
Jika ibu bapa merupakan insan soleh dan mengiklimkan rumah tangga dengan unsur-unsur yang baik, tetapi apabila anak tersebut ke sekolah, bergaul dengan kawan, berjalan di kampung atau bandar, melihat televisyen dan majalah dan seumpamanya yang kesemuanya menyumbang ke unsur-unsur anti-soleh atau negatif, maka kemungkinan unsur pengajaran yang baik itu akan terhakis.
Jika tidak terhakis pun, kekeliruan dan pelbagai persoalan dari jiwa yang mentah itu akan muncul. Begitu insan di setiap peringkat terpengaruh dengan persekitarannya atau teman rapatnya. Nabi saw menyebut dalam hadis:
Seseorang berada atas agama sahabat baiknya. Maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapakah dia jadikan teman rapatnya (Riwayat Ahmad)
Justeru betapa pentingnya membentuk atau mewujudkan suasana yang soleh ini, maka kita tidak hairanlah jika Allah sering menekankan kita agar memelihara iklim dan persekitaran agar dihiasi dengan perkara-perkara yang makruf dan dipelihara dari kemunkaran yang nyata lagi mencemarkan masyarakat.
Sabda Nabi saw:
Jika diteliti, banyak perkara negatif telah menjalar ke dalam berbagai-bagai aspek kehidupan masyarakat kita. Daripada isu akidah seperti menghina Islam sehingga kepada gejala sosial yang melampaui batas. Orang ramai tidak lagi peka apabila melihat sesuatu yang ternyata amat mungkar berlaku di hadapan matanya sedangkan mereka mampu mengubahnya.
Akhirnya, masyarakat hidup tanpa mempedulikan arahan Allah. Kemunkaran yang pada mulanya merupakan penyakit kelompok, akhirnya menjelma menjadi barah yang mengancam masyarakat keseluruhannya. Akhirnya, keselamatan, keadilan, minda, bahkan identiti umat Islam itu sendiri terancam. Ancaman-ancaman ini pada mulanya kelihatan kecil dan kita tidak begitu mempedulikannya. Tapi akhirnya ia menjadi api yang menyala dan sukar untuk dipadamkan lagi.
Jika kita berlumba-lumba memelihara persekitaran kita, mungkin pencemaran kesejahteraan yang sedang kita alami akan dapat diselamatkan. Dengan syarat kita ikhlas niat hanya kerana Allah, bukan sekadar meredakan masyarakat. Jika tidak kelucuan akan berlaku seperti mana kita yang memberi lesen kepada pusat-pusat hiburan terlampau kemudian kita pula menghantar pegawai pencegah untuk menahan sesiapa yang terlibat. Demikian kita lihat ada tangan yang merasmikan masjid, tangan yang sama juga meluluskan pusat-pusat yang mencemarkan kemurnian iklim. Tiada kejujuran yang penuh dalam hal ini.
Di samping, ramai pula di kalangan masyarakat yang merasakan tidak menjadi kesalahan duduk dalam majlis yang penuh dengan kemungkaran tanpa dia berusaha mencegahnya. Dia dapat selesa dalam iklim yang sedemikian. Lebih parah lagi jika ada yang mampu duduk semeja tersenyum simpul ketika rakan-rakan yang lain menghina Islam atau melakukan maksiat secara terang seperti meminum arak. Dia tidak membela dan mempertahankan ajaran Allah dan Rasul-Nya, atau mencegah, sebaliknya terus berkongsi kegembiraan bersama.
Renung-renungkanlah....
Mari Bersama Membina Iklim Taqwa
0 comments: